BANGKOK, 8 September – Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn memperkenankan pelantikan Anutin Charnvirakul, 58, pemimpin Parti Bhumjaithai, sebagai Perdana Menteri baharu selepas memperoleh sokongan majoriti dalam undian Parlimen, Jumaat lalu.
Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung Dewan Perwakilan, Arpath Sukhanunth dalam satu upacara di ibu pejabat parti berkenaan pada Ahad.
Dalam ucapan sulungnya, Anutin berjanji kerajaan baharunya akan memberi tumpuan menangani kos sara hidup, menilai semula projek rangsangan ekonomi serta memastikan keselamatan di sempadan Kemboja.
“Kerajaan saya akan segera menangani isu sempadan Kemboja-Thailand secara aman bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa,” katanya.
Beliau turut menegaskan pentadbiran akan menggalakkan ketelusan, mempercepatkan proses perundangan serta memastikan sistem kehakiman berfungsi bebas mengikut perlembagaan.
Kerajaan pimpinannya juga berhasrat meminda perlembagaan bagi membuka laluan kepada penggubalan perlembagaan baharu, selain berjanji membubarkan parlimen dalam tempoh empat bulan selepas memegang jawatan.
Anutin, yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri serta memegang portfolio Menteri Dalam Negeri dan Kesihatan Awam, yakin pentadbirannya mampu membina asas kukuh untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara. -REUTERS