KARBALA, 7 September – Pasukan penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian di Karbala pada Sabtu selepas Jambatan Al Atayshi runtuh, menyebabkan sekurang-kurangnya lima individu cedera.
Rakaman video menunjukkan sebuah kenderaan rosak teruk, manakala pasukan pertahanan awam giat menjalankan operasi mencari mangsa dan memberikan rawatan kecemasan.
Menurut saksi, Mohammed Akoub, kerja-kerja menuang konkrit dijalankan di atas jambatan ketika kenderaan masih melalui kawasan di bawahnya.
"Sewaktu kejadian, pekerja sedang menuang konkrit di atas dek jambatan, manakala kenderaan masih melalui bahagian bawahnya.
"Kami pernah memberi amaran kepada kontraktor mengenai risiko tersebut, namun beliau menegaskan ia hanyalah prosedur mudah yang telah dilakukan berkali-kali sebelum ini.
"Sekarang, lihatlah apa yang telah berlaku, keluarga menjadi mangsa," katanya di sini.
Menurut kenyataan daripada Jabatan Kesihatan Karbala, lima mangsa cedera dalam insiden itu, termasuk dua warga Afghanistan, dua warga Syria, dan seorang rakyat Iraq.
Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia' al-Sudani, telah mengarahkan penubuhan jawatankuasa siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian. -VIORY