fb fb fb fb fb

Tiga maut, 67 cedera letupan lori tangki di Mexico City

Anggota bomba Mexico memadam kebakaran lori tangki gas yang meletup di Mexico City pada 10 September 2025 – Foto AFP/Valentina Alpide

MEXICO CITY, 11 September- Sekurang-kurangnya tiga maut manakala 67 cedera selepas sebuah lori tangki gas meletup di daerah Iztapalapa, Mexico City, semalam.

Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada memaklumkan 19 mangsa mengalami melecur tahap dua dan tiga termasuk beberapa kanak-kanak dan kesemuanya dirawat di hospital sekitar ibu negara.

Lori yang membawa 49,500 liter gas itu meletup di sebuah jambatan menyebabkan kebakaran besar yang merosakkan beberapa kenderaan lain sebelum api berjaya dikawal pasukan bomba.

Letupan kuat itu turut menyebabkan kepulan asap tebal merebak sehingga ke stesen bas elektrik berhampiran, antara pengangkutan utama di bandar berpenduduk 9.2 juta itu.

Mexico sebelum ini pernah berdepan tragedi lebih buruk pada Januari 2019 apabila kebakaran dan letupan paip minyak yang diceroboh di Hidalgo mengorbankan 137 nyawa. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA