fb fb fb fb fb

Banjir Bali: Korban meningkat sembilan orang, enam hilang

Sebuah kuil Hindu di Denpasar, Bali, Indonesia ditenggelami banjir selepas hujan lebat pada 10 September 2025 /AFP/SONNY TUMBELAKA”

JAKARTA, 11 September- Banjir besar di pulau peranginan Bali, Indonesia telah mengorbankan sembilan orang manakala enam lagi masih hilang dan lebih 600 orang terjejas, menurut agensi bencana negara itu.

Ketua Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Suharyanto berkata banjir melanda enam daerah dan kawasan perbandaran iaitu Denpasar, Jembrana, Gianyar, Klungkung, Badung dan Tabanan.

Beliau berkata banjir itu dicetuskan oleh gelombang Rossby dan Kelvin, iaitu corak cuaca tropika yang boleh menyebabkan hujan lebat serta mengakibatkan kerosakan pada kediaman dan infrastruktur.

"Setakat 9.00 malam waktu tempatan pada Rabu, paras air di beberapa batang sungai telah kembali normal. Banjir ini berpunca daripada hujan yang sangat lebat," kata Suharyanto.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada Khamis dengan 400 hingga 600 anggota dikerahkan untuk mengesan mangsa hilang serta membersihkan sisa banjir.

Pasukan penyelamat juga sedang mengepam keluar air yang bertakung dari kawasan parkir Pasar Badung dan membersihkan timbunan sisa banjir.

Suharyanto berkata tinjauan beliau ke kawasan terjejas menekankan tindak balas pantas kerajaan terhadap bencana itu.

Presiden Prabowo Subianto telah mengarahkan perkhidmatan kecemasan untuk mempergiat usaha menyelamat dan memastikan bantuan disalurkan dengan segera. -BERNAMA

SITI AISHAH BINTI MD ISA