(Foto Fb APMM)
JOHOR BAHRU, 2 Mei- Tiga kru kapal tangki minyak yang dilaporkan hilang di Tanjung Sedili, Kota Tinggi semalam masih gagal dikesan, meskipun pencarian sudah diperluaskan ke empat sektor perairan itu.
Pemangku Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, tiada sebarang petunjuk ditemukan sejak operasi bermula 4.00 petang semalam.
Beliau berkata, mereka merupakan dua warga India dan seorang warga Ukraine berusia 26 hingga 37 tahun.
Keadaan semasa terkawal. Bagaimanapun, kapal itu masih belum boleh dimasuki kerana bimbang dengan sebarang kemungkinan.
Pihaknya juga tidak mengesan sebarang tumpahan minyak di kawasan tersebut, namun pemantauan diteruskan bagi mengelak situasi itu berlaku.
Kebakaran melibatkan bahagian tengah kapal yang menyebabkan kapal itu terbakar sehingga 50 peratus.
Bagaimanapun, punca sebenar masih belum dipastikan dan esok pasukan Hazmat akan ke kapal bagi menjalankan siasatan.
"Sehingga kini kita tiada klu pencarian di air seluas 71 batu nautika, jadi ada kemungkinan juga tiga ni masih lagi berada dalam kapal tersebut", katanya dalam sidang media Perkembangan Kes Kapal MT Pablo yang terbakar semalam.
Semalam, kapal membawa seramai 28 kru dalam perjalanan dari China ke Singapura terbakar mengakibatkan tiga kru gagal dikesan, manakala 25 orang lagi berjaya diselamatkan.
(Kapal tangki MT Pablo terbakar di kedudukan 37.5 batu nautika
timur laut Tanjung Sedili, 3.00 petang, semalam/ Fb APMM)