fb fb fb fb fb

Tiga kru bot China hilang selepas berlanggar di pulau Taiwan

Foto Fail/ AFP

TAIPEI, 17 Ogos- Tiga anak kapal dari sebuah bot nelayan China hilang selepas kapal mereka bertembung dengan sebuah kapal yang tidak dikenali dan tenggelam di luar pantai pulau Taiwan, kata pengawal pantai Taiwan.

China mendakwa Taiwan yang memerintah sendiri sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan hubungan antara kedua-duanya makin merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beberapa siri insiden bot nelayan yang berlaku di sepanjang laluan air sempit yang memisahkan Taiwan dan China telah meningkatkan ketegangan.

Pentadbiran Pengawal Pantai Taiwan dalam satu kenyataan berkata insiden terbaharu berlaku hari ini apabila bot berbendera China "Min Long Yu 60877" karam selepas merempuh sebuah kapal yang tidak dikenali kira-kira 6.5 batu nautika dari pantai kepulauan Kinmen.

"Terdapat tujuh anak kapal di atas kapal. Empat telah diselamatkan dan tiga hilang. Sebuah bot peronda yang dihantar ke kawasan itu tidak menemui kru yang hilang. Mereka yang jatuh ke dalam laut tidak dijumpai,"katanya.

Kenyataan itu berkata juga berkata pengawal pantai Taiwan dan rakan sejawatannya dari China sedang melakukan pencarian dan penyelamatan yang diperluaskan di perairan berhampiran.

Daerah Kinmen ditadbir oleh Taiwan tetapi terletak hanya lima kilometer dari bandar pesisir pantai China Xiamen.

Insiden maut yang melibatkan bot China berhampiran Kinmen pada 14 Februari lalu memulakan pertengkaran selama berbulan-bulan antara Taiwan dan China.

Sebuah bot terbalik ketika ia dikejar oleh pengawal pantai Taiwan, membunuh dua anak kapal China, yang mana Beijing menyalahkan Taipei.

Kedua-dua pihak mencapai persetujuan pada Julai selepas rundingan berhubung insiden itu, bersetuju bahawa punca kematian adalah lemas.-AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI