WASHINGTON, 21 Mac- Seorang lelaki yang disabitkan bersalah menculik, merogol dan membunuh bekas teman wanitanya 31 tahun lalu, dihukum mati pada Rabu sekali gus hukuman mati pertama di negeri selatan AS itu dalam tempoh lebih empat tahun.
Willie Pye, 59, telah dibunuh dengan suntikan maut pada pukul 11:03 malam di sebuah penjara di Jackson, Georgia.
Mahkamah Agung AS dan Lembaga Pengampunan dan Parol Negeri menolak bidaan saat akhir untuk pengampunan Pye.
Dalam menghujahkan pengampunan, peguam Pye berkata dia kurang upaya dari segi intelek dengan IQ 68 dan mengalami zaman kanak-kanak yang traumatik.
Pye dibesarkan dalam kemiskinan, mengalami pengabaian dan keganasan berterusan di rumah keluarganya.
Di samping itu, peguamnya berkata, Pye tidak mendapat pengadilan yang sewajarnya dengan mendakwa peguam bela terdahulu seorang yang rasis.
Pye pertama kali dijatuhi hukuman mati pada 1996 kerana membunuh bekas teman wanitanya, Alice Yarbrough pada 1993.
Pada 2021, mahkamah rayuan membatalkan hukuman mati Pye atas alasan dia telah menerima representasi yang tidak berkesan daripada peguamnya yang dilantik oleh mahkamah.
Hukuman mati kemudiannya dikembalikan.
Pye tidak meninggalkan sebarang pesan sebelum pihak penjara melaksanakan hukuman mati tersebut.
Terdapat dua lagi hukuman mati di Amerika Syarikat tahun ini.
Januari lalu, Kenneth Smith yang disabit dengan kesalahan membunuh telah dihukum mati di Alabama yang turut direkodkan sebagai hukuman mati pertama di negara itu yang dilakukan menggunakan gas nitrogen.
Seorang lagi pembunuh yang disabitkan kesalahan, Ivan Cantu, dihukum mati dengan suntikan maut di Texas dengan suntikan maut pada Februari.
Sementara itu, satu lagi hukuman mati dengan suntikan maut telah dijadualkan di Idaho bulan lalu tetapi dihentikan selepas pasukan perubatan tidak dapat memasukkan talian intravena.
Hukuman mati telah dimansuhkan di 23 negeri AS, manakala enam gabenor yang lain; Arizona, California, Ohio, Oregon, Pennsylvania dan Tennessee telah menangguhkan penggunaannya.
Terdapat 24 hukuman mati di Amerika Syarikat pada tahun 2023, kesemuanya dilakukan melalui suntikan maut.-AFP