TAIPEI, 21 Mac- Kementerian Pertahanan Taiwan hari ini berkata 32 pesawat tentera China dikesan di sekitar pulau itu dalam tempoh 24 jam, jumlah kedua tertinggi tahun ini.
Sehingga pukul 6 pagi tadi, pihaknya turut mengesan lima kapal tentera laut yang beroperasi di sekitar Taiwan.
Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan 20 daripada pesawat itu melintasi garis tengah Selat Taiwan.
Angkatan bersenjata Taiwan telah memantau keadaan dan menggunakan pesawat (rondaan), kapal tentera laut, dan sistem peluru berpandu pantai sebagai tindak balas kepada aktiviti yang dikesan.
Pada Januari dan Februari lalu, kementerian itu mengesan 33 pesawat pejuang China di sekitar pulau berkenaan, jumlah tertinggi tahun ini.
Bulan lalu, Taiwan berkata 11 kapal tentera laut China dikesan di sekitar Taiwan, paling banyak tahun ini, ketika perbalahan antara Taipei dan Beijing berhubung insiden bot nelayan.
Sebuah bot laju China yang membawa empat orang terbalik pada 14 Februari berhampiran pulau Kinmen Taiwan ketika dikejar pengawal pantai Taiwan, menyebabkan dua orang terbunuh manakala dua lagi selamat.
Insiden itu berlaku ekoran ketegangan yang semakin meningkat antara China dan Taiwan, sebuah pulau yang dikuasai sendiri yang didakwa Beijing sebagai sebahagian daripada wilayahnya untuk dirampas suatu hari nanti, secara kekerasan jika perlu.
Beijing telah menuduh pihak berkuasa Taiwan berusaha untuk mengelak tanggungjawab mereka dan menyembunyikan kebenaran mengenai kejadian itu, manakala seorang pegawai pengawal pantai Taiwan berkata bot terbabit hilang keseimbangan sebelum terbalik.
Taiwan turut mengesan lapan belon Cina diterbangkan atas pulau itu dalam dua hari berturut-turut semasa tempoh cuti Tahun Baharu Cina bulan lepas.
Beijing telah meningkatkan tekanan ketenteraan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan mengerahkan pesawat perang dan kapal tentera laut di sekitar pulau itu hampir setiap hari.-AFP