fb fb fb fb fb

Tiga cedera akibat serangan dron Rusia di Odesa

Foto REUTERS

ODESA, 7 September - Tiga orang dilaporkan cedera manakala beberapa bangunan mengalami kerosakan dalam serangan dron oleh tentera Rusia di bandar selatan Ukraine, Odesa, pada Ahad.

Menurut Perkhidmatan Kecemasan Negeri Ukraine (SES), beberapa kebakaran turut tercetus susulan serangan tersebut, melibatkan beberapa blok pangsapuri, sebuah bangunan sembilan tingkat, gudang, kenderaan dan sebuah kemudahan sukan.

Rakaman yang dimuat naik oleh SES di aplikasi Telegram menunjukkan pasukan bomba giat menjalankan operasi pemadaman api di lokasi kejadian.

Turut dilaporkan, pasukan kaunseling telah digerakkan bagi membantu penduduk yang terkesan.

Gabenor wilayah Odesa, Oleh Kiper, turut mengesahkan kejadian itu melalui saluran rasmi di Telegram.

Sementara itu, beberapa lagi serangan turut dilaporkan berlaku di ibu negara Ukraine, Kiev, khususnya di daerah Sviatoshynskyi, serta di bandar Kremenchuk dan Kryvyi Rih di bahagian tengah negara itu.

Pihak berkuasa Ukraine menyifatkan serangan tersebut sebagai antara serangan udara waktu malam paling dahsyat dilancarkan oleh Rusia sejak konflik bermula. –REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM