MESIR, 7 September - Lima konvoi bantuan kemanusiaan anjuran Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah memasuki Gaza melalui pintu sempadan Rafah pada minggu ini.
Menurut Agensi Berita Emirates (WAM), sebanyak 100 buah trak bantuan telah memasuki kawasan itu minggu ini, membawa lebih 2,376 tan bekalan kemanusiaan termasuk makanan, peralatan perubatan, dan barangan perlindungan tempat tinggal.
Rakaman pada Rabu lalu menunjukkan trak bantuan yang sarat dengan bekalan makanan dan perubatan sedang bersiap sedia untuk memasuki Gaza melalui Mesir di pintu sempadan Rafah.
Agensi itu turut memaklumkan bahawa UAE telah menghantar lebih 10,000 tan bantuan ke Gaza melalui pintu sempadan Rafah di Mesir sejak sempadan itu dibuka.
UAE terus menyalurkan bantuan kemanusiaan bermula 5 November 2023, di bawah arahan Presiden UAE, Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan, bagi membantu rakyat Palestin di Gaza susulan tercetusnya konflik Israel-Hamas pada 7 Oktober 2023. -VIORY