fb fb fb fb fb

Bangunan Al-Rouya jadi sasaran, penduduk Gaza terpaksa tinggalkan kediaman

Foto VIORY

GAZA, 7 September - Penduduk di Bangunan Al-Rouya, Gaza, dilihat mula meninggalkan kediaman masing-masing pada Sabtu, selepas menerima amaran daripada tentera Israel berhubung serangan yang dirancang ke atas bangunan tersebut.

Rakaman video menunjukkan beberapa keluarga, termasuk kanak-kanak, tergesa-gesa mengangkat barangan keperluan asas yang sempat dibawa bersama.

Beberapa khemah turut didirikan berhampiran menara pangsapuri itu sebagai tempat perlindungan sementara.

Seorang penduduk, Umm Iyad al-Sharfa, meluahkan rasa kecewa dan ketakutan terhadap situasi yang dihadapi.

"Ini adalah rumah saya. Dan kini saya tidak mungkin akan kembali. Semuanya telah berakhir selepas arahan pemindahan dikeluarkan kerana bangunan ini bakal dibom. Tiada wang, tiada kerja, tiada makanan atau air, langsung tiada apa-apa.

"Ke mana kami harus pergi? Ini bukan hanya masalah kami, tetapi masalah semua penduduk di sini. Siapa yang akan dengar suara kami?," kata penduduk Gaza, Umm Iyad al-Sharfa di sini.

Beliau turut menyatakan bahawa rumah itu bukan sekadar tempat tinggal, tetapi lambang kehidupan dan masa depan anak-anaknya.

"Rumah adalah kehidupan. Ia masa depan anak-anak ini. Di mana mereka akan membesar? Ke mana mereka akan pergi?," katanya lagi.

Terdahulu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menggesa penduduk supaya segera meninggalkan kawasan tersebut kerana disyaki terdapat infrastruktur Hamas berhampiran bangunan berkenaan.

Risalah turut dijatuhkan dari udara ke atas Bandar Gaza, menggesa penduduk berpindah ke kawasan Mawasi yang telah diisytiharkan sebagai zon selamat.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, konflik antara Israel dan Hamas yang tercetus pada 7 Oktober 2023 telah mengorbankan seramai 64,368 penduduk Palestin dan mencederakan 162,367 yang lain. –VIORY

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM