GAZA, 7 September - Penduduk Palestin di Gaza City dilihat memeriksa kesan kemusnahan pada Ahad, susulan serangan udara oleh tentera Israel yang dilancarkan pada Sabtu.
Menurut petugas perubatan, serangan menyasarkan Sekolah Al-Farabi yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal, berhampiran Stadium Al-Yarmouk, yang juga dijadikan pusat perlindungan sementara.
Dalam kejadian berasingan, dua kanak-kanak dilaporkan terbunuh apabila sebuah khemah berhampiran bangunan Parlimen Palestin terkena serangan.
Seorang lelaki turut maut dalam serangan ketiga di kawasan Sheikh Radwan.
Serangan terbaharu tersebut berlaku ketika pasukan Israel meneruskan operasi ketenteraan di kawasan pinggir bandar utara Gaza, susulan arahan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, agar Gaza City ditawan sepenuhnya.
Sebelum konflik Israel-Hamas meletus, Gaza City menempatkan kira-kira satu juta penduduk.
Serangan berterusan dijangka menyebabkan ratusan ribu lagi penduduk kehilangan tempat perlindungan. -REUTERS