fb fb fb fb fb

Tiga angkasawan China selamat kembali ke bumi

Foto FB CCTV+

BEIJING, 31 Oktober- Tiga angkasawan China selamat kembali ke bumi pada Selasa selepas lima bulan berada di orbit di stesen angkasa negara itu.

Menurut penyiar CCTV, Jing Haipeng, Zhu Yangzhu dan Gui Haichao mendarat di tapak pendaratan Dongfeng China pada pukul 8.11 pagi.

"Petugas penyeliaan perubatan dan insurans mengesahkan kesemua angkasawan berada dalam keadaan sihat.

"Angkasawan terbabit menghabiskan masa menjalankan eksperimen saintifik.

"Misi penerbangan anak kapal Shenzhou-16 telah berjaya sepenuhnya," kata CCTV.

Jing, Zhu dan Gui mengembara ke stesen angkasa Tiangong China pada akhir Mei dan berada di orbit selama 154 hari.

Krew baharu menggantikan mereka minggu lalu selepas misi Shenzhou-17 berlepas dari tapak pelancaran Jiuquan di barat laut negara itu.

Sementara itu, Agensi Angkasa Berawak China berkata misi Shenzhou-17 yang membawa Tang Hongbo, Tang Shengjie dan Jiang Xinlin akan melakukan kajian sains angkasa lepas dan ujian aplikasi muatan.

Mereka juga akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan untuk membaiki kerosakan kecil pada stesen akibat serpihan angkasa lepas.

China telah melabur berbilion dolar dalam program angkasa lepas kendalian tenteranya untuk mengatasi Amerika Syarikat dan Rusia.

China turut menyasarkan menghantar misi kru ke bulan menjelang 2030 dan membina pangkalan di permukaan satelit bumi itu. - AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM