KANO, 31 Oktober- Pasukan penyelamat Nigeria masih lagi meneruskan operasi mencari lebih 70 mangsa lemas akibat bot karam di sungai, timur laut negara itu, minggu lalu.
Menurut Ketua Wilayah Bagi Agensi Pengurusan Kecemasan Nigeria (NEMA), Ladan Ayuba, 18 mayat telah ditemukan setakat Isnin.
"Ketika kejadian terdapat 104 penumpang atas bot tersebut. 14 daripada penumpang telah diselamatkan manakala 73 orang lagi masih hilang," kata Ayuba kepada AFP di sini.
Tambahnya, bot bermotor berkenaan terbalik di negeri Taraba ketika dalam perjalanan ke pasar di Kampung Mayo Ranewa di seberang sungai dari daerah Karim Lamido pada Sabtu lalu.
Pengangkutan sungai adalah perkara biasa di Nigeria.
Kemalangan bot sering berlaku di laluan air yang tidak dikawal selia kerana kesesakan serta kekurangan penyelenggaraan.
Terdahulu, 40 orang hilang dan dianggap meninggal dunia selepas bot yang membawa 50 penumpang karam di negeri Kebbi, barat laut Nigeria. - AFP