fb fb fb fb fb

Tiga anggota pengaman PBB cedera ringan dalam 'letupan' di selatan Lubnan

Foto AFP

BEIRUT, 18 Ogos - Tiga pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengalami kecederaan ringan pada Ahad, kata PBB selepas letupan berlaku berhampiran kenderaan mereka di sempadan selatan Lubnan.

Kumpulan Hizbollah yang disokong Iran telah berbalas tembakan merentasi sempadan dengan tentera Israel bagi menyokong sekutu Hamas sejak serangan kumpulan pejuang Palestin pada 7 Oktober ke atas Israel mencetuskan perang Gaza.

“Awal hari ini, tiga anggota pengaman yang sedang melakukan rondaan, cedera ringan apabila letupan berlaku berhampiran kenderaan PBB di sekitar Yarine, di selatan Lubnan,” kata Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) dalam satu kenyataan.

"Semua pasukan pengaman dalam rondaan selamat kembali ke pangkalan mereka. Kami sedang meneliti kejadian itu," tambahnya.

Awal Ahad, Agensi Berita Nasional Lubnan telah melaporkan bahawa pesawat Israel telah melancarkan serangan ke perkampungan Dhayra, kira-kira satu kilometer (0.6 batu) dari Yarine, mengakibatkan kecederaan.

Sumber UNIFIL memberitahu AFP bahawa letupan yang mencederakan pasukan pengaman berkemungkinan serangan udara berdekatan, namun "bukan serangan langsung".

Terdahulu pada Ogos, Setiausaha Agung Operasi Keamanan Jean-Pierre Lacroix memberitahu AFP bahawa UNIFIL hari ini "lebih penting daripada sebelumnya" di tengah-tengah pertempuran rentas sempadan yang berterusan, kerana ia adalah "satu-satunya saluran penghubung antara pihak Israel dan Lubnan yang berpihak kepada semua komponennya, seperti Hizbollah".

Keganasan rentas sempadan telah mengorbankan 582 orang di Lubnan, kebanyakannya pejuang Hizbollah termasuk sekurang-kurangnya 128 orang awam.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN