fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan di Turkiye terkawal

Foto AFP

TURKIYE, 18 Ogos - Kebakaran yang telah memusnahkan hutan di sekitar bandar ketiga paling ramai penduduk di Turkiye, Izmir sejak empat hari lalu, sebahagian besarnya dapat dikawal, kata pihak berkuasa hari ini.

Menteri Pertanian dan Perhutanan, Ibrahim Yumakli berkata usaha memadamkan kawasan panas sedang dijalankan namun api kini sebahagian besarnya dikawal di satu tempat.

"Tiada risiko di bahagian yang menghadap bandar. Anggota bomba telah memerangkap api di lembah. Alhamdulillah, kebakaran di kawasan Yamanlar Izmir ini kini terkawal," kata Yumakli kepada pemberita.

Antara kebakaran baharu yang berlaku pada Sabtu di wilayah Izmir, satu kebakaran yang mengancam pusat peranginan tepi laut Cesme juga berjaya dikawal tanpa sebarang kecederaan dimana sebahagiannya disebabkan pemindahan penduduk yang segera, kata Yumakli.

Api terus membakar lembah curam di daerah kira-kira 20 kilometer (12 batu) di selatan Izmir, namun pada kadar yang lebih perlahan, tambah Yumakli.

Sekurang-kurangnya 43 bangunan rosak di Izmir, manakala 26 orang dimasukkan ke hospital akibat kecederaan yang berkaitan dengan kebakaran itu, menurut Menteri Perancangan Bandar, Murat Kurum.

Haiwan liar, kucing dan anjing mati dalam kebakaran itu namun tiada mangsa daripada manusia dilaporkan.

Kebakaran Izmir bermula pada Khamis dan merebak dengan cepat ke kawasan perumahan dengan angin bertiup pada kelajuan 50 kilometer (30 batu) sejam.

Anggota bomba dihantar dari beberapa bandar, manakala tentera dan pasukan polis turut digerakkan.

Lima kebakaran lain terus marak di kawasan hutan di bandar-bandar lain di Turkiye, termasuk barat laut Bolu dan Aydin di barat.

Kebakaran Izmir merupakan yang terbesar berlaku di Turkiye pada musim panas ini.

Pada Jun, kebakaran yang berlaku di Mardin di tenggara Turki meragut 15 nyawa.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN