fb fb fb fb fb

Tiada gencatan senjata, hanya laluan selamat untuk tebusan AS-Netanyahu

Foto REUTERS

BAITULMAQDIS, 12 Mei- Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan bahawa Israel tidak bersetuju dengan sebarang gencatan senjata atau pembebasan tahanan bersama Hamas.

Sebaliknya, Netanyahu menyatakan bahawa Israel hanya meluluskan satu laluan selamat bagi membolehkan pembebasan tebusan warga Israel-Amerika, Edan Alexander.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Israel dimaklumkan mengenai keputusan Hamas untuk membebaskan Alexander, satu-satunya tebusan warga Amerika yang masih hidup sebagai isyarat niat baik kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Keputusan itu dibuat selepas rundingan empat pihak antara Hamas, Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar.

Pembebasan Alexander dilihat sebagai langkah awal ke arah membebaskan baki 59 tebusan lain yang masih ditahan di Gaza.

Negara perantara utama, Qatar dan Mesir, menyambut baik langkah ini dan menganggapnya sebagai tanda positif untuk menyambung semula rundingan gencatan senjata di wilayah yang dilanda peperangan itu.

Namun begitu, Netanyahu menegaskan bahawa pasukan keselamatan Israel akan meneruskan persiapan untuk meningkatkan operasi ketenteraan di kawasan tersebut.

"Rundingan akan diteruskan dalam keadaan berbalas tembakan, semasa persiapan untuk memperhebatkan pertempuran sedang berjalan," menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri Israel.

Rundingan itu berlangsung menjelang lawatan Presiden Trump ke Teluk, yang tidak akan merangkumi persinggahan di Israel.

Pegawai-pegawai AS cuba meredakan kebimbangan Israel mengenai potensi jarak politik antara Israel dan Trump, terutama selepas pengumuman Trump untuk menamatkan kempen ketenteraan AS terhadap kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman.

Sementara itu, keluarga-keluarga tebusan di Israel terus mendesak kerajaan untuk mencapai persetujuan pembebasan kesemua tahanan yang masih berada di Gaza.

Namun, Netanyahu berdepan tekanan hebat daripada golongan pelampau dalam kabinetnya agar tidak menamatkan perang atau membuat sebarang konsesi.

Minggu lalu, beliau mengumumkan pelan untuk memperhebat serangan ke atas Gaza, dengan beberapa pegawai menyatakan bahawa kawasan itu mungkin dikuasai sepenuhnya oleh tentera Israel dalam masa terdekat.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD