ISTANBUL, 28 September - Kumpulan Palestin Hamas pada Ahad menegaskan bahawa ia tidak menerima sebarang cadangan gencatan senjata baharu di Gaza daripada pihak perantara, sambil menekankan kesediaannya untuk membincangkan sebarang cadangan yang dikemukakan, lapor Anadolu Ajansi.
Laporan media sebelum ini menyebut Hamas telah menerima cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk mencapai gencatan senjata di Gaza dan menamatkan serangan Israel di wilayah itu.
“Hamas mengesahkan bahawa ia tidak menerima sebarang cadangan baharu daripada pihak perantara,” menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Menurut Hamas, rundingan genjatan senjata tergendala sejak serangan udara Israel pada 9 Sept ke atas kepimpinan Hamas di ibu negara Qatar, Doha yang mengorbankan lima anggotanya.
“Hamas menegaskan kesediaannya untuk mengkaji sebarang cadangan yang diterima daripada pihak perantara dengan secara positif dan bertanggungjawab, dengan cara yang memelihara hak-hak kebangsaan rakyat kami,” menurut Hamas.
Pada 25 Sept, Presiden AS Donald Trump membentangkan pelan damai 21 perkara kepada pemimpin Arab yang antara lain menyeru gencatan senjata kekal di Gaza, pembebasan semua tawanan Israel, pemerintahan Gaza tanpa Hamas serta pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari wilayah itu, menurut beberapa laporan media.
Pemimpin Arab menyokong sebahagian besar pelan itu namun meminta beberapa penambahan, termasuk jaminan menentang rancangan pengilhakan Tebing Barat, mengekalkan status quo Baitulmuqaddis, meningkatkan bantuan kemanusiaan serta menangani isu penempatan Israel, menurut diplomat serantau kepada CNN.
Tentera Israel telah membunuh hampir 66,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak di Gaza sejak Oktober 2023.
Pengeboman tanpa henti itu telah menjadikan wilayah berkenaan tidak dapat didiami serta mengakibatkan kebuluran dan penularan penyakit. -BERNAMA-ANADOLU