CAPE TOWN, 28 September - Ribuan penunjuk perasaan pro-Palestin membanjiri jalan-jalan di Cape Town pada Sabtu; berarak menuju ke bangunan Parlimen bagi menuntut penghentian genosid terhadap rakyat Gaza.
Rakaman yang tular menunjukkan para peserta membawa bendera Palestin dan sepanduk dengan pelbagai slogan seperti “jika anda berdiam diri, anda bersubahat, hentikan genosid” dan “jangan hanya rasa simpati, bertindaklah".
Salah seorang penunjuk perasaan, Shameemah Salie berkata genosid berkenaan telah lama berlaku di Palestin.
“Genosid yang berlaku di Gaza, Palestin ini sebenarnya sudah berlaku sejak tahun 1948. Sebab itulah saya ada di sini hari ini.
"Tidak mungkin kita boleh menonton secara langsung genosid ini, kanak-kanak dibunuh, dibom hancur, bayi dicabut daripada rahim ibu mereka, tanpa rasa apa-apa. Setiap hari kita melihat orang ramai dibunuh oleh Israel yang kejam," katanya di sini.
Beliau turut menyeru seluruh dunia untuk terus bersatu dan menggunakan kekuatan ketenteraan bagi mengehentikan pembunuhan yang berlaku di Gaza.
Seorang lagi penunjuk perasaan, Profesor Usuf Chikte meminta dunia tidak bersubahat dengan tindakan kejam Israel itu.
“Kita tidak boleh bersubahat. Kita harus mematuhi undang-undang antarabangsa dan menentang genosid ini. Apa yang kita perlu buat bukan sekadar bercakap, tetapi bertindak," katanya.
Seorang lagi peserta perarakan yang enggan namanya didedahkan menekankan kepentingan solidariti antarabangsa.
"Kita mungkin tak mampu berada di Gaza untuk bantu secara langsung, tapi sekurang-kurangnya kita boleh bersuara dan tunjuk sokongan melalui perhimpunan seperti ini," katanya.
Perarakan yang dianjurkan oleh beberapa pertubuhan itu berakhir dengan penyerahan memorandum tuntutan kepada wakil kerajaan Afrika Selatan.
Afrika Selatan yang merupakan antara negara paling lantang dalam isu itu dan telah membawa kes terbabit ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ); mendakwa Israel melanggar Konvensyen Genosid.
Pada Januari lalu, ICJ mengeluarkan perintah langkah sementara yang mengarahkan Israel mengambil tindakan bagi mengelak sebarang bentuk genosid.
Serangan berterusan Israel terhadap Gaza sejak 7 Oktober 2023 menyebabkan lebih 65,549 kematian dan mencederakan lebih 167,518 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza setakat laporan ini diterbitkan. -VIORY