fb fb fb fb fb

'The Voice of Hind Rajab' dipertontonkan pada Festival Filem Venice

Pengarah 'The Voice of Hind Rajab', Kaouther Ben Hania memegang gambar Hind Rajab/ AFP

VENICE, 3 September – Sebuah filem menyayat hati 'The Voice of Hind Rajab' dipertontonkan pada Festival Filem Venice.

Ia mengisahkan kisah seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Hind Rajab yang terbunuh akibat serangan tentera Israel di Gaza pada Januari 2024.

Filem itu bertujuan memberi 'suara dan wajah' kepada mangsa peperangan di Palestin, kata pengarahnya, Kaouther Ben Hania dari Perancis-Tunisia.

Ia membuatkan ramai wartawan sebak ketika tayangan perdana di Venice.

Ben Hania turut hadir bersama barisan pelakon di karpet merah sambil memegang gambar Hind Rajab yang tersenyum manis. Kanak-kanak itu menjadi fokus utama filem berkenaan berdasarkan rakaman rayuannya meminta diselamatkan.

"Kita lihat di seluruh dunia, naratif yang dimainkan adalah mereka yang terkorban di Gaza hanyalah ‘kerosakan sampingan’ dalam laporan media.

"Saya rasa perkara ini sangat tidak berperikemanusiaan. Itulah sebabnya seni filem dan pelbagai bentuk ekspresi sangat penting untuk memberi mereka suara dan identiti," kata Ben Hania kepada pemberita.

Filem itu turut mendapat sokongan nama besar Hollywood termasuk Joaquin Phoenix yang hadir ke tayangan perdana, selain Brad Pitt serta pengarah pemenang Oscar seperti Jonathan Glazer (The Zone of Interest) dan Alfonso Cuaron (Roma) sebagai penerbit eksekutif.

Ben Hania mengakui tidak menyangka mendapat sokongan sebesar itu selepas proses suntingan filem siap. "Saya amat gembira. Saya tidak pernah bayangkan perkara ini boleh berlaku," katanya lagi.

Filem berdurasi 90 minit itu dijangka menjadi calon utama untuk anugerah tertinggi festival berkenaan pada Sabtu ini.

– Kisah Benar –

Hind Rajab Hamada ketika kejadian sedang melarikan diri bersama enam ahli keluarganya di Bandar Gaza sebelum kereta mereka ditembak. Dia menjadi satu-satunya mangsa yang terselamat di dalam kenderaan yang rosak teruk itu.

Rakaman panggilannya kepada perkhidmatan kecemasan Bulan Sabit Merah – turut didedahkan kepada umum – mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa ketika itu. Namun, dia akhirnya ditemukan maut bersama dua petugas ambulans yang cuba menyelamatkannya.

Filem tersebut menggunakan rakaman sebenar perbualan telefon berkenaan, namun memaparkan usaha dramatik pasukan Bulan Sabit Merah menyelamatkannya.

"Hind berkali-kali merayu dalam tangisan, 'Tolong datang, saya takut' sementara bunyi tembakan kedengaran di latar belakang," kata Ben Hania.

Dalam filem, usia Hind digambarkan enam tahun, namun sijil kematian menunjukkan dia berusia lima tahun.

– "Hentikan Perang" –

Konflik Gaza menjadi isu utama pada Festival Filem Venice tahun ini sekali gus mengajak ribuan penunjuk perasaan berhimpun di pintu masuk acara berkenaan Sabtu lalu.

Menurut penganjur, lebih 2,000 penggiat industri perfileman menandatangani surat terbuka mendesak festival itu mengutuk kerajaan Israel.

Ibu Hind, Wissam Hamada, ketika dihubungi dari Gaza berkata, beliau berharap filem tersebut mampu membuka mata dunia.

"Seluruh dunia membiarkan kami mati, kelaparan, hidup dalam ketakutan dan dihalau tanpa sesiapa melakukan apa-apa," katanya.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza sekurang-kurangnya 63,633 penduduk Palestin, kebanyakannya orang awam, telah terkorban akibat serangan Israel.

– Ketegangan Dalam Dunia Perfileman –

Sejak Israel melancarkan serangan ke atas Gaza pada Oktober 2023, ia terus mencetuskan ketegangan dalam dunia seni perfileman.

Ratusan pelakon dan pengarah pernah menandatangani surat terbuka semasa Festival Filem Cannes Mei lalu menyatakan rasa malu terhadap 'sikap pasif' industri perfileman mengenai perang itu.

Festival Cannes ketika itu juga dibayangi berita kematian wartawan foto Palestin, Fatima Hassouna, yang menjadi subjek dokumentari terpilih dalam segmen khas festival.

Sehari selepas dimaklumkan filemnya terpilih, Fatima terbunuh bersama 10 ahli keluarganya dalam serangan udara Israel di rumahnya di utara Gaza.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI