NEW DELHI, 3 September - Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul, menyambut baik keterbukaan India untuk menggandakan nilai dagangan antara kedua-dua negara yang kini berjumlah AS$36.29 bilion, ketika lawatan ke New Delhi pada Rabu (3 September).
"Saya gembira kerana Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar optimis tentang prospek ini seperti saya. Kami berkongsi matlamat dengan India untuk mengekalkan tatanan antarabangsa berasaskan peraturan.
"Ini termasuk kebebasan laluan perdagangan maritim di Indo-Pasifik. Tingkah laku China yang semakin agresif di Indo-Pasifik menjadi kebimbangan. Secara keseluruhan, kami mahu memperluaskan lagi kerjasama dalam bidang pertahanan, keselamatan dan persenjataan.
"Sama ada melalui latihan bersama angkatan tentera atau mempercepatkan kelulusan eksport sehingga penglibatan Indo-Pasifik, seperti lawatan kapal tentera ke India tahun lalu," katanya.
Perjanjian perdagangan bebas antara India dan Kesatuan Eropah (EU) boleh dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang dan menegaskan sekiranya ada pihak lain mengenakan halangan perdagangan, kedua-dua negara harus bertindak balas dengan mengurangkan tekanan itu.
Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar berkata, bersetuju dengan pandangan Wadephul dan menegaskan kepentingan bersama untuk menurunkan tarif serta mencari cara lain bagi mengembangkan perniagaan dan kerjasama ekonomi.
"Terdapat peningkatan dalam kerjasama pertahanan dan keselamatan antara kita. Jerman menyertai latihan udara 'Tarang Shakti' tahun lalu dan kapal perangnya berlabuh di Goa. Hari ini kami bersetuju supaya penyertaan sebegini diteruskan, malah diperluaskan.
"Pada masa lalu, kami menghadapi kesukaran kawalan eksport dalam domain pertahanan dan keselamatan. Saya ingin merakamkan penghargaan atas usaha mempercepatkan kelulusan dan proses kelancaran ini. Kami juga membincangkan kerjasama industri yang lebih erat antara kedua-dua negara dalam konteks ini," katanya.
Lawatan Wadephul ini dibuat beberapa hari selepas Amerika Syarikat menggandakan tarif ke atas barangan India, mengenakan levi tambahan sebanyak 25 peratus berhubung pembelian minyak Rusia dari India.
Washington melihat perkara itu sebagai menyokong usaha perang Moscow di Ukraine. Levi itu adalah tambahan kepada tarif awal 25 peratus yang diumumkan pada Julai.
India sebelum ini mengkritik tindakan AS dan EU, menyatakan ia tidak adil kerana negara itu dipersalahkan atas pembelian minyak Rusia sedangkan kedua-dua blok tersebut masih menjalankan perdagangan besar dengan Moscow walaupun konflik Ukraine berterusan.- REUTERS