BANGKOK, 18 Januari - Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang kini dipenjarakan layak untuk dibebaskan dengan parol bulan depan berikutan usia dan kesihatannya, kata seorang pegawai Jabatan Pemulihan pada Rabu.
Jutawan Thaksin, 74, dimasukkan ke hospital akibat tekanan darah tinggi dan sesak nafas, beberapa jam selepas pulang ke Thailand pada Ogos lalu, 15 tahun dalam buangan sendiri untuk menjalani hukuman lapan tahun kerana menyalahgunakan kuasa.
Hukuman beliau telah diringankan kepada setahun berikutan pengampunan diraja.
Jabatan Pemulihan minggu lalu melanjutkan tempoh tinggalnya di hospital polis untuk memantau tahap kesihatannya.
"Berdasarkan kriteria, Thaksin layak mendapat parol khas," kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pemulihan, Sitthi Sutivong kepada pemberita menjawab kepada soalan sama ada Thaksin boleh dibebaskan pada Februari.
Sitthi berkata pihaknya belum menerima permintaan rasmi daripada Penjara Reman Bangkok untuk parolnya.
Thaksin telah digulingkan daripada kuasa menerusi rampasan kuasa tentera 2006 dan telah berada di tengah-tengah pergolakan selama 17 tahun di Thailand.
Thaksin, bekas taikun telekomunikasi dan pemilik kelab bola sepak Liga Perdana, Manchester City telah dituduh oleh pihak tentera melakukan rasuah, kronisme dan salah guna kuasa.
Dia dijatuhkan hukuman penjara tanpa kehadiran pada 2008. Kakaknya, Yingluck Shinawatra telah digulingkan sebagai Perdana Menteri dalam satu lagi rampasan kuasa tentera pada 2014.
Thaksin telah berulang kali menafikan masih berada dalam politik dan mengatakan dia sudah bersara.-REUTERS