fb fb fb fb fb

Thaksin kembali untuk hadapi keputusan mahkamah

Sebuah kenderaan yang dipercayai membawa bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, dilihat bergerak keluar dari terminal jet peribadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok, selepas beliau terbang ke luar negara bagi menjalani pemeriksaan perubatan di Dubai sebelum menghadiri perbicaraan penting di mahkamah. / Foto REUTERS

BANGKOK, 8 September - Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, kembali ke tanah air pada Isnin menjelang keputusan penting Mahkamah Agung yang dijangka bakal membawa kepada pemenjaraannya semula.

Kepulangan Thaksin, 76, dengan jet peribadi di Lapangan Terbang Don Mueang, pada petang Isnin, disiarkan secara langsung oleh media tempatan.

Beliau sebelum ini berikrar untuk hadir secara peribadi pada prosiding mahkamah yang dijadualkan Selasa ini.

Kepulangan beliau hanya seminggu selepas parti dinasti keluarganya, Pheu Thai, digulingkan daripada kerajaan.

Ini sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa beliau mungkin melarikan diri daripada siasatan Mahkamah Agung berhubung sama ada beliau benar-benar menjalani hukuman penjara seperti sepatutnya.

Meskipun siasatan mahkamah itu tidak menjurus kepada hukum bersalah atau tidak, penganalisis percaya keputusan terbaharu itu boleh menyebabkan Thaksin dipenjarakan semula.

Selama dua dekad, keluarga Shinawatra menjadi musuh utama golongan elit protentera dan prodiraja yang melihat pendekatan populis mereka sebagai ancaman kepada struktur pemerintahan tradisional Thailand.

Namun, pengaruh politik keluarga itu kini semakin merosot selepas beberapa siri kekalahan politik dan perundangan dengan keputusan Mahkamah Agung itu dijangka menambah lagi tekanan selepas Pheu Thai kehilangan tampuk kuasa minggu lalu.

Siasatan kehakiman berkenaan memberi tumpuan kepada hukuman Thaksin atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa setelah beliau pulang ke Thailand pada Ogos 2023 selepas bertahun-tahun hidup dalam buangan.

Thaksin sepatutnya dijatuhkan hukuman lapan tahun penjara, namun tidak pernah menghabiskan hukumannya mengikut tempoh ditetapkan.

Beliau dipindahkan dari pusat tahanan ke bilik peribadi di Hospital Besar Polis Bangkok, sekali gus mencetuskan kecurigaan dalam kalangan rakyat terhadap layanan istimewa yang diterima oleh beliau.

Pengampunan diraja mengurangkan hukumannya kepada hanya setahun, sebelum beliau dibebaskan awal pada Februari 2024 menerusi skim pembebasan untuk banduan warga emas.

Susulan itu, Mahkamah Agung memulakan siasatan pada April lalu melalui Bahagian Jenayah bagi individu memegang jawatan politik.

Menerusi siasatan yang dilakukan, beberapa pegawai penjara dan perubatan telah dipanggil bagi menentukan sama ada hukuman tersebut telah dijalani secara sah. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD