JAKARTA, 8 September - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, melantik Purbaya Yudhi Sadewa sebagai Menteri Kewangan baharu, menggantikan Sri Mulyani Indrawati dalam rombakan kabinet yang diumumkan pada Isnin.
Pelantikan itu diumumkan menerusi dekri presiden, menjadikan Purbaya, seorang ahli ekonomi yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya Korporasi Penjamin Simpanan Indonesia (LPS), sebagai individu bertanggungjawab mengemudi dasar kewangan negara.
Pengguguran Sri Mulyani berlaku selepas protes antikerajaan terbesar dan paling ganas setakat ini, yang tercetus berikutan isu gaji rendah, kadar pengangguran, serta elaun mewah ahli parlimen.
Dalam rombakan itu, Prabowo turut menamatkan perkhidmatan Menteri Penyelaras Keselamatan, Budi Gunawan, dan Menteri Belia dan Sukan, Dito Ariotedjo.
Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang, Bhima Yudhistira Adhinegara, berkata Purbaya berdepan cabaran besar, termasuk memulihkan keyakinan pasaran dan melaksanakan sistem percukaian yang adil.
"Menteri baharu perlu mengambil kira kuasa beli golongan pertengahan dan bawahan ketika merangka strategi kutipan cukai, selain mengawal perbelanjaan program bercita-cita tinggi seperti makanan percuma untuk murid sekolah serta pembangunan kawasan pertanian berskala besar," katanya.
Pelantikan itu berlaku ketika Indonesia berdepan situasi ekonomi mencabar dan tekanan pasaran. Bursa Saham Jakarta ditutup susut 1.28 peratus selepas pengumuman rombakan kabinet.- AFP