fb fb fb fb fb

PBB kecam pelanggaran undang-undang antarabangsa dalam konflik dunia

Foto REUTERS

GENEVA, 8 September – Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk, memberi amaran bahawa undang-undang antarabangsa dan peraturan perang yang menjadi asas kepada keamanan dan kestabilan dunia kini sedang diabaikan.

Dalam ucapannya pada pembukaan Sidang ke-60 Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Isnin, Turk berkata terdapat trend membimbangkan yang semakin menjejaskan hak asasi manusia di seluruh dunia.

Beliau mengecam pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa secara terang-teranga, terutamanya dalam konflik Rusia- Ukraine, perang saudara di Sudan, dan serangan berterusan Israel ke atas Gaza.

Turk turut menyuarakan kebimbangan terhadap budaya meraikan keganasan yang semakin meluas.

Ucapan itu dipercayai merujuk kepada tindakan China yang menganjurkan perarakan ketenteraan berskala besar baru-baru ini serta dakwaan bahawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengarahkan penukaran nama Jabatan Pertahanan AS kepada Jabatan Perang.

“Propaganda properang kini di mana-mana, daripada perarakan tentera sehinggalah retorik politik yang semakin keterlaluan,” katanya.

“Malangnya, tidak ada perarakan keamanan atau kementerian untuk keamanan.”

Turk menegaskan bahawa undang-undang antarabangsa adalah asas kepada keamanan, termasuk peraturan perdagangan, penggunaan internet global dan hak asasi individu.

Namun, menurut beliau, terdapat beberapa pihak kini mengabaikan, tidak menghormati dan menarik diri daripada kerangka undang-undang berkenaan.

“Apabila negara tidak mempedulikan pelanggaran undang-undang, ia akan menjadi sesuatu yang biasa dan diterima,” katanya.

Tanpa menyebut nama secara langsung, Turk turut memberi amaran bahawa terdapat negara-negara yang kini menjadi alat peribadi kepada pemimpinnya, sekali gus menjejaskan prinsip demokrasi dan kebertanggungjawaban.

Beliau juga mengutuk tindakan beberapa negara yang menarik diri daripada kerjasama pelbagai hala, institusi antarabangsa dan perjanjian global.

Antara yang disebut termasuk sekatan oleh Amerika Syarikat ke atas hakim dan pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), serta waran tangkap yang dikeluarkan Rusia terhadap mereka.

Beliau turut menyifatkan sekatan AS terhadap Pelapor Khas PBB bagi hak asasi manusia di Wilayah Palestin sebagai tidak wajar.

Turk menyifatkan tindakan Amerika Syarikat menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris dan beberapa badan PBB termasuk Majlis Hak Asasi sebagai "amat dikesali".

“Jaringan kerjasama global dan serantau yang dibina dengan teliti selama beberapa dekad demi kebaikan bersama kini semakin lemah,” tegas beliau.

“Kita tidak boleh kembali kepada pemikiran lapuk yang membawa kepada dua Perang Dunia dan Holocaust", kata Turk. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD