fb fb fb fb fb

Hukuman 6 individu terlibat kebakaran karaoke dikurangkan

Kenderaan hangus di luar bangunan berikutan kebakaran di bar karaoke di Hanoi pada 19 Disember 2024/ AFP

HANOI, 8 September - Mahkamah di Vietnam pada Isnin mengurangkan hukuman enam individu yang disabitkan kesalahan berhubung kebakaran sebuah pusat karaoke pada 2022 yang meragut 32 nyawa, lapor media tempatan.

Kebakaran pada September 2022 di bandar komersial Ho Chi Minh mengejutkan negara itu dan mendorong penutupan ribuan pusat karaoke di seluruh Vietnam kerana gagal mematuhi peraturan keselamatan kebakaran.

Enam individu sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara, termasuk pemilik pusat karaoke, seorang kontraktor pembinaan dan empat pegawai polis yang meluluskan sistem pencegahan kebakaran di premis berkenaan.

Mahkamah Rayuan Ho Chi Minh memutuskan hukuman penjara lapan tahun ke atas pemilik bar dikurangkan kepada enam tahun, manakala hukuman penjara lima tahun ke atas kontraktor diganti dengan hukuman penangguhan tiga tahun.

Dua pegawai polis turut diberikan hukuman gantung tugas dengan mengambil kira tempoh tahanan sebelum ini, sementara dua lagi pegawai masing-masing menerima hukuman penjara enam tahun – iaitu pengurangan sekurang-kurangnya satu tahun daripada hukuman asal.

Menurut laporan media tempatan, pengurangan hukuman itu dibuat selepas kesemua pesalah membayar pampasan kepada keluarga mangsa yang turut memohon pengampunan terhadap mereka.

Tragedi yang berlaku di bangunan karaoke An Phu yang mempunyai 30 bilik itu menyebabkan pelanggan dan kakitangan terperangkap apabila asap tebal memenuhi tangga dan laluan kecemasan, mengorbankan 17 lelaki dan 15 wanita.

Susulan insiden tersebut, lebih dua pertiga daripada kira-kira 15,000 pusat karaoke di Vietnam diarahkan tutup dalam operasi penguatkuasaan keselamatan kebakaran, lapor media negara itu.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI