KATHMANDU, 8 September - Sekurang-kurangnya 14 individu terkorban manakala puluhan lagi cedera dalam protes di Nepal susulan bantahan terhadap penutupan akses media sosial dan dakwaan rasuah, lapor televisyen kerajaan.
Jurucakap pejabat daerah Kathmandu, Muktiram Rijal berkata, pihak polis menerima arahan menggunakan meriam air, belantan dan peluru getah untuk mengawal penunjuk perasaan.
Menurut saksi, beberapa penunjuk perasaan cedera dan dihantar ke hospital berdekatan. Kumpulan penentang turut menahan sebuah kenderaan keselamatan yang dalam perjalanan menuju ke parlimen dan membakar sebuah ambulans.
Pihak berkuasa kemudian menguatkuasakan perintah berkurung di sekitar bangunan parlimen selepas ribuan penunjuk perasaan cuba menceroboh masuk ke dewan dengan merempuh sekatan polis.
Nepal sebelum ini menyekat akses ke beberapa platform media sosial, termasuk Facebook, minggu lalu selepas syarikat berkenaan gagal mendaftar dengan pihak berkuasa dalam usaha membendung penyalahgunaan.
Kerajaan mendakwa pengguna media sosial dengan identiti palsu menyebarkan ucapan kebencian, berita palsu serta terlibat dalam penipuan dan jenayah lain melalui platform berkenaan.- REUTERS