GENEVA, 8 September - Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk, pada Isnin menyuarakan kebimbangan terhadap retorik “genosid” secara terbuka oleh pegawai kanan Israel berhubung Gaza.
Turk turut menggesa tindakan tegas antarabangsa bagi menghentikan pertumpahan darah di wilayah berkenaan.
Dalam ucapan pada pembukaan sesi ke-60 Majlis Hak Asasi Manusia PBB, beliau berkata wilayah Palestin yang diduduki kini sudah menjadi “tanah perkuburan”.
"Pembunuhan besar-besaran ke atas orang awam Palestin di Gaza oleh Israel; penderitaan yang tidak serta kemusnahan menyeluruh; halangan terhadap bantuan menyelamatkan nyawa dan kebuluran yang menyusul; pembunuhan wartawan, kakitangan PBB dan NGO; serta pelanggaran demi pelanggaran undang-undang perang, telah mengejutkan hati nurani dunia," katanya.
Turk menambah bahawa beliau "terkejut dengan penggunaan retorik genosid secara terbuka dan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin oleh pegawai kanan Israel".
Menurutnya, hampir dua tahun selepas perang tercetus, seluruh rantau itu sedang "merintih mahukan keamanan".
Kenyataan itu hadir sehari selepas tentera Israel mengebom sebuah blok kediaman di Bandar Gaza iaitu serangan ketiga dalam tempoh tiga hari selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengumumkan operasi ketenteraan akan “dipertingkatkan” di pusat bandar Gaza.
PBB menganggarkan hampir satu juta orang masih berada di Bandar Gaza, kawasan yang secara rasmi telah diisytiharkan sebagai kawasan kebuluran bulan lalu.
PBB turut memberi amaran bahawa "bencana besar" sedang menanti jika Israel berdegil meneruskan serangan.
Dalam pada itu, Turk turut memberi amaran bahawa tindakan lanjut seperti ketenteraan, pendudukan, perluasan wilayah dan penindasan hanya akan menyemarakkan lagi keganasan dan tindak balas pihak terlibat.
Beliau menegaskan bahawa Israel mempunyai "kewajipan undang-undang untuk melaksanakan langkah-langkah yang diperintahkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk mencegah perbuatan genosid, menghukum penghasut genosid dan memastikan bantuan kemanusiaan mencukupi sampai kepada rakyat Palestin di Gaza".
Turk berkata masyarakat antarabangsa sedang "gagal melaksanakan tanggungjawab mereka".
“Kita sedang mengecewakan rakyat Gaza,” katanya. - AFP