fb fb fb fb fb

PM Sepanyol umum 9 langkah henti genosid di Gaza

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez / Foto AFP

MADRID, 8 September - Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, pada Isnin mengumumkan sembilan langkah baharu yang bertujuan untuk menghentikan apa yang disifatkannya sebagai "genosid di Gaza".

Ini termasuk embargo senjata terhadap Israel serta larangan kapal membawa bahan api untuk tentera Israel daripada berlabuh di pelabuhan Sepanyol.

Pengumuman berkenaan merupakan langkah terbaharu dalam siri kecaman Sepanyol terhadap serangan Israel di Gaza.

Sanchez dalam ucapan yang disiarkan secara langsung berkata langkah berkenaan bertujuan untuk "menghentikan genosid di Gaza.

Antara tindakan yang akan diambil ialah kelulusan dekri kerajaan untuk mengukuhkan pengharaman penjualan dan pembelian peralatan ketenteraan dengan Israel, satu larangan yang sudah dikuatkuasakan sejak permulaan konflik Gaza.

Selain itu, kapal yang membawa bahan api untuk kegunaan tentera Israel dilarang berlabuh di pelabuhan Sepanyol.

Selain itu, kerajaan Sepanyol juga akan berusaha mengurangkan pengangkutan peralatan ketenteraan ke Israel melalui udara.

Tindakan itu juga merangkumi larangan kemasukan ke Sepanyol bagi individu yang terlibat secara langsung dalam genosid, pelanggaran hak asasi manusia, dan jenayah perang di Gaza.

Sepanyol juga akan mengharamkan import produk dari penempatan haram Israel di wilayah Palestin sebagai usaha untuk menghentikan pemindahan paksa penduduk Palestin dan menyokong penyelesaian dua negara.

Perkhidmatan konsular untuk warga Sepanyol yang tinggal di penempatan haram Israel akan terhad kepada bantuan minimum yang diwajibkan oleh undang-undang.

Sanchez turut mengumumkan projek kerjasama baharu dalam bidang pertanian, keselamatan makanan, dan bantuan perubatan untuk menyokong Pihak Berkuasa Palestin.

Dana kemanusiaan tambahan juga akan disalurkan untuk membantu rakyat Palestin.

Sanchez menjadi antara pemimpin Eropah paling lantang dalam mengecam tindakan Israel di Gaza. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD