BANGKOK, 7 Jun- Thailand akan menilai secara terperinci situasi COVID-19 sebelum membuat sebarang keputusan untuk menarik balik peraturan pemakaian pelitup muka.
Jurucakap Kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha sudah mengarahkan Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) untuk membuat penilaian selari dengan pelan pemulihan ekonomi negara dan apabila kehidupan rakyat kembali normal.
“Melonggarkan langkah-langkah pencegahan COVID-19 tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya. CCSA perlu membuat penilaian dan pertimbangan yang teliti dengan mengambil kira situasi COVID-19 (terkini) di setiap kawasan serta kesihatan dan keselamatan rakyat.
“Buat masa ini, semua orang digesa untuk terus memakai pelitup muka yang bersih serta mematuhi semua langkah pencegahan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt berkata beliau akan mencadangkan kepada CCSA untuk menjadikan pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka sebagai pilihan kerana jangkitan baharu COVID-19 semakin berkurangan.
(Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha)
Ketika ini, orang awam di ibu negara masih diwajibkan memakai pelitup muka apabila berada di luar rumah termasuk di sekolah dan tempat kerja.
Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand merekodkan 2,224 kes baharu COVID-19 dan 20 kematian, menjadikan jumlah jangkitan kepada 4,471,179 dan 30,218 kematian.