fb fb fb fb fb

Thailand tahan warga Jepun, disyaki dalang penipuan antarabangsa

Foto Hiasan

BANGKOK, 20 Mac- Polis Thailand menahan seorang lelaki warga Jepun yang disyaki mengendalikan rangkaian penipuan antarabangsa.

Penahanan dibuat ketika pihak berkuasa memperhebat tindakan terhadap operasi haram, menurut pegawai kanan pada Khamis.

Menurut Inspektor Kanan Polis, Thatchai Pitaneelaboot, suspek dikenali Tetsuya Yamaguchi ditahan di kondominium sewanya di pusat Bangkok pada Jumaat lalu.

Lelaki berusia 46 tahun itu ditangkap atas permintaan polis Jepun, yang mahu menahannya atas pertuduhan penipuan dan kesalahan lain termasuk kaitan dengan jenayah terancang.

"Kami mendapati Yamaguchi mempunyai hubungan dengan operasi pusat panggilan di Kemboja dan Vietnam," kata Thatchai kepada wartawan.

Visa Yamaguchi telah dibatalkan dan dia akan diekstradisi ke Jepun pada awal April.

Ketika serbuan, polis turut menemui empat lagi suspek warga Jepun, kesemuanya mempunyai rekod jenayah di negara asal mereka.

Salah seorang daripada mereka dipercayai menjalankan sebuah syarikat yang berfungsi sebagai topeng untuk aktiviti pengubahan wang haram.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, industri penipuan dalam talian dan panggilan telefon telah berkembang pesat di Asia Tenggara terutamanya di Myanmar, Kemboja dan Laos.

Mereka yang bekerja di pusat penipuan itu mendakwa telah diperdaya atau dipaksa, menjalankan penipuan cinta, kasino dan pelaburan untuk menipu mangsa di seluruh dunia.

Sejak akhir Februari, sekitar 4,500 orang telah dihantar pulang melalui Thailand, termasuk lebih 3,000 warga China.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM