fb fb fb fb fb

Empat maut ditembak di hentian teksi Johannesburg

Foto AFP

JOHANNESBURG, 20 Mac- Sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati empat individu di sebuah hentian teksi di pusat bandar Johannesburg pada Khamis.

Menurut polis Afrika Selatan, kejadian itu berlaku sehari selepas insiden serupa di kawasan berhampiran, yang mengorbankan tiga nyawa.

Polis percaya kedua-dua kejadian tersebut berkaitan dengan persaingan sengit antara persatuan teksi, yang selama beberapa dekad dicemari dengan keganasan dan pembunuhan bagi merebut penguasaan dalam industri yang menguntungkan.

Teksi "mini bas" merupakan pengangkutan utama bagi sebahagian besar rakyat Afrika Selatan.

Menurut jurucakap polis, Colonel Dimakatso Nevhuhulwi, sekumpulan lelaki bersenjata yang menaiki sebuah kenderaan telah berhenti di hentian teksi di kawasan Jeppestown, Johannesburg, awal pagi Khamis dan melepaskan tembakan.

"Seorang pemandu teksi, seorang penyelaras barisan penumpang dan dua peniaga jalanan terbunuh," katanya kepada AFP.

Tiga individu turut cedera dalam serangan itu, termasuk seorang pelajar universiti, seorang pemandu dan seorang penumpang teksi.

Polis mengesyaki serangan itu berkaitan konflik dalaman industri teksi.

Sehari sebelumnya, tiga pemandu teksi terbunuh dalam serangan serupa di hentian teksi di Katlehong, tenggara Johannesburg, manakala dua penumpang cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan secara rawak.

Afrika Selatan mencatat kadar pembunuhan yang tinggi, dengan purata 75 kes sehari, menurut statistik polis yang tidak memasukkan kes kematian akibat peperangan antara kumpulan teksi yang berlarutan sejak sekian lama.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM