KIEV, 20 Mac- Serangan udara Rusia di timur Ukraine pada malam Rabu mengorbankan dua orang selain puluhan dron yang dilancarkan turut mencederakan 14 yang lain.
Menurut pihak berkuasa tempatan pada Khamis, serangan itu juga menyebabkan kebakaran di barisan hadapan.
Kedua-dua negara terus meningkatkan serangan udara, meski Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, cuba mendesak Moscow dan Kiev untuk mencapai gencatan senjata selepas lebih tiga tahun pertempuran yang meragut banyak nyawa.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata serangan terbaharu itu membuktikan bahawa Rusia tidak benar-benar mahu menamatkan perang.
“Setiap kali mereka melancarkan serangan, Rusia menunjukkan kepada dunia sikap sebenar mereka terhadap perdamaian,” tulisnya di media sosial.
Pegawai Ukraine di wilayah timur laut Sumy dan Kharkiv melaporkan bahawa Rusia telah menjatuhkan lebih 30 bom gelongsor ke atas beberapa bandar berhampiran sempadan, menyebabkan dua terbunuh dan beberapa lagi cedera.
Sementara itu, serangan dron Rusia di bandar Kropyvnytsky, ratusan kilometer dari barisan hadapan, mencederakan 14 orang termasuk empat kanak-kanak serta memusnahkan beberapa bangunan kediaman, kata gabenor wilayah, Andriy Raikovych.
"Asap tebal dan api marak di langit. Kropyvnytsky menjadi sasaran serangan paling besar setakat ini," katanya.
Syarikat kereta api Ukraine, Ukrzaliznytsia, turut melaporkan perkhidmatan mereka di rantau itu terganggu akibat serangan tersebut.
Dalam pada itu, pembantu Presiden Ukraine, Andriy Yermak, mengecam serangan itu dan menuduh Rusia sengaja menyerang orang awam.
"Inilah rupa 'gencatan senjata' dari Putin. Rusia dengan sengaja menyerang orang awam," katanya di media sosial.
Tentera udara Ukraine melaporkan bahawa serangan besar-besaran Rusia itu melibatkan 171 dron, di mana 75 telah ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara, manakala 63 lagi berjaya dinyahaktifkan menggunakan sistem gangguan elektronik atau tersasar sendiri.- AFP