WASHINGTON, 21 Mac-Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah menandatangani perintah eksekutif semalam (Khamis) bertujuan untuk menutup Jabatan Pendidikan.
Agenda tersebut merupakan matlamat utama golongan konservatif Amerika yang mahu setiap negeri menguruskan sistem pendidikan mereka sendiri tanpa campur tangan kerajaan Persekutuan.
Trump berkata bahawa perintah eksekutif itu akan "memulakan langkah untuk menghapuskan Jabatan Pendidikan persekutuan buat selama-lamanya."
"Kita akan menutupnya secepat mungkin. Ia tidak memberi manfaat kepada kita.
"Kita akan mengembalikan pendidikan kepada negeri-negeri, di mana ia sepatutnya berada", kata Trump.
Jabatan Pendidikan, yang ditubuhkan pada tahun 1979, tidak boleh ditutup tanpa kelulusan Kongres, tetapi perintah eksekutif Trump berkemungkinan mempunyai kuasa untuk mengurangkan dana dan kakitangannya.
Langkah berkenaan merupakan salah satu tindakan paling drastik dalam rombakan besar kerajaan yang sedang dilakukan Trump dengan bantuan jutawan teknologi, Elon Musk, dan Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) miliknya.
Perintah tersebut mengarahkan Setiausaha Pendidikan, Linda McMahon, untuk "mengambil semua langkah yang diperlukan untuk memudahkan penutupan Jabatan Pendidikan dan mengembalikan kuasa pendidikan kepada negeri-negeri," menurut satu draf yang diperoleh AFP.
Sementara itu, Pemimpin Demokrat dan golongan pendidik mengkritik tindakan tersebut.
Ketua Demokrat di Senat, Chuck Schumer, menyifatkannya sebagai "pengambilalihan kuasa secara kejam" dan "salah satu langkah paling merosakkan dan menghancurkan yang pernah dilakukan Donald Trump."
Pemimpin Republikan, termasuk Gabenor Florida Ron DeSantis dan Gabenor Texas Greg Abbott, hadir dalam majlis menandatangani perintah itu.
Trump menggambarkan langkah berkenaan sebagai perlu untuk menjimatkan wang dan meningkatkan standard pendidikan di Amerika Syarikat, yang menurutnya ketinggalan berbanding Eropah dan China.
Namun, pendidikan telah lama menjadi medan pertempuran dalam perang budaya Amerika, dan Republikan sejak sekian lama mahu menghapuskan kawalan kerajaan persekutuan terhadapnya.
Trump telah berjanji semasa kempen pilihan raya untuk menghapuskan jabatan itu dan menyerahkan kuasanya kepada negeri-negeri AS, sama seperti yang seperti hak pengguguran.
Namun, White House menyatakan bahawa sebahagian kecil jabatan berkemungkinan akan kekal untuk menguruskan "fungsi kritikal" seperti pinjaman pelajar dan beberapa bantuan untuk pelajar berpendapatan rendah.-AFP.