KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur hari ini, bersempena Sidang Kemuncak ASEAN.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh White House selepas pertemuan itu, kedua-dua negara dilaporkan mencapai persetujuan penting melibatkan perdagangan timbal balik dan pembangunan sektor mineral kritikal.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Jamieson Greer yang memainkan peranan utama dalam rundingan tersebut, bersikap “tegas tetapi adil” sepanjang proses perbincangan.
“Perjanjian ini membuka ruang kepada kerjasama lebih strategik antara Malaysia dan Amerika Syarikat dalam bidang perdagangan dan teknologi baharu, khususnya berkaitan sumber mineral kritikal,” katanya.
Trump dijadual meneruskan lawatan ke Jepun bagi bertemu Perdana Menteri baharu, Sanae Takaichi, sebelum ke Busan, Korea Selatan, untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping, menjelang sidang kemuncak perdagangan antarabangsa yang bakal diadakan minggu hadapan. -REUTERS