BANGKOK, 25 September- Thailand sedang menyiasat laporan pencemaran kadmium dalam durian yang dieksport ke China dan setakat ini mendapati bahawa durian itu bukan berasal dari Thailand, lapor Agensi Berita Thai (TNA).
Pentadbiran Am Kastam China (GACC) mengeluarkan amaran mengenai penghantaran durian tercemar kadmium dari Thailand, menyebabkan penggantungan sementara eksport dari syarikat yang terjejas, syarikat pembungkusan dan kebun yang diperakui GAP.
Kementerian Pertanian dan Koperasi Thailand menghantar pegawai dari Jabatan Pertanian untuk mengumpul sampel durian, tanah, air, dan input pengeluaran bagi menguji pencemaran.
Ujian awal menunjukkan paras kadmium berada dalam had yang dibenarkan iaitu 0.05 mg/kg.
Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Koperasi, Prayoon Insakul mendedahkan bahawa siasatan awal menunjukkan buah-buahan yang tercemar itu bukan dari selatan Thailand.
Pihak berkuasa sedang mengumpul maklumat untuk menyelesaikan isu ini tanpa mengganggu eksport.
Pegawai Thai menegaskan bahawa China tidak mengenakan larangan ke atas import durian dari Thailand dan eksport berjalan seperti biasa.
Jabatan Pertanian juga mempergiat usaha untuk mencegah import durian haram dari negara jiran, yang boleh menjejaskan harga dan piawaian kualiti tempatan.
Bagi memastikan keselamatan dan kualiti produk, pengeksport terkemuka seperti Platinum Fruit melaksanakan prosedur ujian yang ketat, termasuk ujian tanah dan air, pemeriksaan berterusan dan pensampelan rawak sebelum eksport.-BERNAMA