fb fb fb fb fb

Al-Azhar Al-Sharif kecam pencerobohan Israel ke atas Lubnan

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 25 September- Institusi Agama Mesir Al-Azhar Al-Sharif mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan Zionis Israel ke atas beberapa kawasan di selatan dan timur Lubnan yang mengorbankan ratusan penduduk awam termasuk wanita dan kanak-kanak.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Mesir di Malaysia kepada Bernama hari ini, Al-Azhar Al-Sharif menyatakan solidariti kepada rakyat Lubnan di tengah-tengah pencerobohan rejim Zionis.

Institusi itu turut menyeru masyarakat antarabangsa supaya melakukan tindakan segera dalam menghentikan pencerobohan di Palestin dan Lubnan.

Serangan Israel ke atas Lubnan jelas membuktikan niat jenayah mereka serta usaha yang berterusan untuk menjadikan Timur Tengah sebagai medan peperangan, menurut kenyataan itu.

“Zionis juga meluaskan skop konflik merangkumi negara dan wilayah lain setelah ia mengubah Gaza menjadi runtuhan bangunan dan lautan darah penduduk yang tidak berdosa,” menurut kenyataan itu.

Al-Azhar turut mempersoalkan peranan dunia dalam menghentikan rejim pengganas yang dilihat semakin angkuh.

“Kenapa semua pihak berdiam diri terhadap keganasan yang membenarkan pembunuhan lelaki, wanita dan kanak-kanak sewenang-wenangnya tanpa belas kasihan?

“Dan mengapa dunia tidak lagi bertindak balas terhadap tangisan wanita dan kanak-kanak di Palestin dan Lubnan? Adakah disebabkan wujud kepentingan strategik bersama dengan entiti pengganas ini?

“Atau adakah hati nurani semua entiti antarabangsa telah mati?,” menurut kedutaan yang memetik kenyataan Al-Azhar.

Al-Azhar sekali lagi menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak menghentikan pencerobohan, serta mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, sambil menolak sebarang bentuk pencabulan kedaulatan ke atas Lubnan dan wilayahnya.-BERNAMA

 

Trainee2