LIMA, 25 September- Sisa-sisa fosil tiga mastodon dari Zaman Ais ditemukan di Andes Peru sekali gus menimbulkan persoalan tentang bagaimana haiwan purba berkenaan tiba di kawasan itu.
Penggalian bermula pada 2019 menemui haiwan berkenaan, dipercayai berusia antara 11,000 dan 12,000 tahun, di lembah bandar Chambara, kira-kira 300 kilometer timur Lima.
Salah satu daripada spesimen itu hampir lengkap, dan boleh menjadi mastodon paling terpelihara di seluruh Peru, kata ahli paleontologi Ivan Meza.
"Jika tengkorak itu ditemui termasuk gading, itu akan mempunyai kepentingan saintifik pada skala nasional dan global," kata Meza.
Saiz mastodon hampir sama dengan mammoth namun kedua-duanya juga telah pupus. Mastodon mempunyai kepala lebih rata serta gading lebih lurus.
Para saintis kini berharap untuk mencari lebih banyak fosil di kawasan itu bagi memberi penerangan berkenaan mastodon.
"Kami bercakap tentang kawasan kecil kurang daripada satu hektar," kata Meza. "Sehingga kini kami telah menemui tiga spesimen, dengan kemungkinan lebih banyak spesimen daripada jenis haiwan lain."
Menurut dapatan yang diperolehi pakar percaya, mastodon berkemungkinan berhijrah dari Amerika Utara ke Amerika Selatan untuk mencari makanan dan air apabila keadaan iklim berubah.
"Lama kelamaan, banjaran gunung Andes meningkat dan air laut surut," kata penyelidik Oscar Diaz. "Kawasan ini kering dan meninggalkan lagun merentasi Lembah Mantaro," yang menyediakan sumber air, tambahnya.
Peru merupakan sumber yang kaya dengan tinggalan prasejarah. Pada April, sepasukan ahli paleontologi mendedahkan tengkorak fosil ikan lumba-lumba sungai, yang terbesar ditemui.
Ia dipercayai telah berenang melalui Amazon Peru kira-kira 16 juta tahun lalu.- REUTERS