BANGKOK, 9 April - Thailand bercadang membatalkan ujian saringan RT-PCR yang diwajibkan ke atas ketibaan antarabangsa, bermula Mei, dalam usaha negara ini untuk memulihkan industri pelancongan.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Dr Taweesin Visanuyothin, berkata di bawah cadangan itu, pengembara yang sudah menerima vaksin COVID-19, tidak lagi perlu menjalani saringan RT-PCT dan menempah hotel yang ditetapkan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, katanya, pelancong perlu melakukan ujian antigen kendiri di lapangan terbang.
Pada masa ini, di bawah program 'Test & Go' tanpa kuarantin, pengembara perlu menempah hotel yang ditetapkan lebih awal, serta melakukan saringan RT-PCR pada hari pertama ketibaan dan ujian ATK pada hari kelima.
Sementara itu, Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha, berkata mulai Mei juga kerajaan akan melonggarkan lagi sekatan perjalanan, bagi ketibaan pelancong yang menggunakan laluan darat dan udara.-BERNAMA