DONETSK, 9 April - Puluhan nyawa terkorban akibat serangan peluru berpandu terhadap sebuah stesen kereta api di timur Ukraine.
Kejadian berlaku ketika orang awam berusaha menyelamatkan diri kerana bimbang dengan kemungkinan serangan terbaharu Rusia di bandar raya tersebut.
Pemimpin dunia turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang berlaku di Kramatorsk yang juga pusat bandar Donetsk itu.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menuduh Rusia sebagai dalang kekejaman itu manakala Perancis menyifatkannya sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.
Pihak berkuasa wilayah Kramatorsk berkata sekurang-kurangnya 52 individu termasuk lima kanak-kanak terbunuh akibat serangan tersebut.
(Antara mangsa yang terkorban dalam serangan peluru berpandu terhadap sebuah stesen kereta api di Kramatorsk)
Manakala Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky melaporkan sejumlah 300 orang tercedera dan menyifatkan serangan itu sebagai kejahatan tanpa batasan.
Beliau mendakwa pengeboman itu sudah dilaporkan di Rusia sebelum peluru berpandu mengenai sasaran dan menggesa tindak balas tegas global terhadap jenayah perang berkenaan serta lebih banyak senjata untuk membalas serangan Moscow.
Wartawan AFP melihat sekurang-kurangnya 30 mayat yang ditutup dengan plastik serta sisa peluru di stesen berkenaan.
Bahagian tubuh badan, serpihan kaca dan bagasi yang ditinggalkan berselerakan di seluruh stesen kereta api itu. - AFP