RIYADH 9 April - Kerajaan Arab Saudi mengumumkan membenarkan sejuta jemaah haji dari dalam dan luar negara untuk melakukan ibadah itu tahun ini.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi turut memaklumkan bahawa ibadah tahunan umat Islam ke Makkah tahun ini, adalah untuk mereka yang berumur bawah umur 65 tahun dan mereka hendaklah sudah divaksin sepenuhnya.
Kementerian itu juga berkata, jemaah haji dari luar negara juga diwajibkan menunjukkan ujian PCR COVID-19 negatif dan langkah berjaga-jaga kesihatan akan dipatuhi.
“Kementerian telah membenarkan sejuta Jemaah haji, sama ada warga asing atau tempatan untuk menunaikan haji pada tahun ini,” kata kenyataan itu.
(Foto fail)
Sebelum pandemik COVID-19 menular, pada 2019 kementerian itu membenarkan kira-kira 2.5 juta jemaah menunaikan ibadah yang dituntut bagi orang Islam yang berkemampuan.
Ketika pandemik pada 2020, Arab Saudi hanya membenarkan seribu jemaah menunaikan ibadah itu dan pada tahun lalu sebanyak 60,000 jemaah dengan syarat telah menerima dos lengkap vaksin COVID-19.
"Kerajaan Arab Saudi mahu memastikan keselamatan para jemaah haji dan pada masa sama memastikan jumlah maksimum jemaah di seluruh dunia boleh menunaikan ibadah haji", kata kenyataan itu. -AFP