KENTUCKY, 6 November - Sekurang-kurangnya 12 orang terkorban dalam nahas pesawat kargo milik syarikat penghantaran UPS yang terhempas dan menyebabkan letupan besar hingga memusnahkan sebuah pusat kitar semula petroleum berhampiran Lapangan Terbang Louisville, Kentucky, pada Selasa malam.
Pesawat jenis MD-11 berusia 34 tahun itu dilaporkan terbakar sejurus berlepas menuju ke Honolulu sebelum melanggar pagar hujung landasan dan terhempas ke beberapa struktur berhampiran kawasan perindustrian.
Letupan kuat itu turut menyebabkan kebakaran merebak sejauh hampir 800 meter dan mencetuskan siri letupan kecil di kawasan sekitar.
Pada Rabu, Gabenor Kentucky, Andy Beshear bersama Datuk Bandar Louisville, Craig Greenberg dan Ahli Kongres Morgan McGarvey melawat tapak nahas untuk meninjau usaha penyelamatan dan siasatan yang sedang dijalankan.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) memaklumkan kotak hitam pesawat telah ditemui, manakala siasatan awal mendapati kebakaran besar berlaku di bahagian sayap kiri sebelum salah satu daripada tiga enjinnya tercabut ketika pesawat sedang memecut di landasan.
Susulan kejadian, Lapangan Terbang Louisville ditutup sementara dan operasi penghantaran global di pusat logistik utama UPS Worldport terganggu, menyebabkan kelewatan dalam perkhidmatan penghantaran antarabangsa.-REUTERS