fb fb fb fb fb

Thailand mansuh pemakaian pelitup muka

BANGKOK, 24 Jun- Thailand telah memansuhkan peraturan yang mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka bermula hari ini, ketika kes COVID-19 menunjukkan trend penurunan dan kerajaan dalam usaha kerajaan menarik balik pelancong asing.

Pelitup muka telah diwajibkan sejak pertengahan 2021, apabila negara itu menyaksikan gelombang kes yang didorong oleh penyebaran varian Delta.

"Memakai pelitup muka kini adalah amalan sukarela," kata Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha dalam pengumuman warta diraja yang dikeluarkan malam tadi.

Kementerian kesihatan mengesyorkan orang ramai terus memakai topeng muka di kawasan yang sesak atau kurang pengudaraan, bagaimanapun tidak disebut dengan jelas mengenai pengangkutan awam.

Perkhidmatan metro milik persendirian ibu kota Bangkok kemudian mengumumkan, ia masih memerlukan pengembara menggunakan kereta apinya untuk memakai pelitup muka.

Walaupun peralihan itu tidak dilihat secara mendadak di jalan-jalan bandar, ramai yang menyambut baik perubahan dasar itu.

"Pengguguran (sekatan) akan membolehkan orang ramai meneruskan kehidupan normal mereka," kata Supanya Pajaree, seorang pekerja bebas berusia 26 tahun.

Pelancong Amerika Jake Lucchi menyokong langkah itu, tetapi berkata dia akan terus memakai topeng.

"Saya selalunya tidak memakainya tetapi sekarang saya melihat kebanyakan orang memakainya jadi saya mahu menghormati apa yang orang lakukan," katanya.

Langkah kerajaan Thailand itu dibuat selepas Singapura dan Kemboja turut membuang peraturan yang mewajibkan memakai pelitup di kawasan terbuka.

Keputusan itu juga diambil menjelang penghujung sistem "Thailand Pass", yang memerlukan pelawat mendaftar dan menunjukkan bukti vaksinasi sebelum memasuki negara tersebut.

Mulai 1 Julai, pelancong hanya perlu membawa sijil vaksin mereka atau mengambil ujian COVID-19 semasa ketibaan.

Ekonomi Thailand goyah dalam dua tahun kebelakangan ini, dengan pertumbuhan terjejas disebabkan peningkatan kos sara hidup dan COVID-19.

Negara 'gajah putih' itu turut mengalami penurunan mendadak dalam pelancongan, kini mengalu-alukan 1.6 juta pelancong asing dalam tempoh enam bulan pertama 2022, menurut data kerajaan.

Dalam enam bulan pertama 2019 angka itu hanya di bawah 20 juta, data menunjukkan.

Kes COVID-19 dan kematian berkaitan kini telah menurun dari paras tertinggi, dengan kerajaan mencatatkan sekitar 2,500 jangkitan harian dan kurang daripada 50 kematian sehari selama lebih sebulan.

Sekurang-kurangnya tiga perempat daripada populasi diberi vaksin dua kali, dengan kira-kira 40 peratus juga telah menerima suntikan penggalak.- AFP


(Pelancong mengambil gambar di atas jambatan atas ke stesen Skytrain BTS di Bangkok)
FOTO AFP

 

Media Baharu