fb fb fb fb fb

Thailand gesa Kemboja umum gencatan senjata terlebih dahulu

Foto AFP

BANGKOK, 16 Disember - Thailand menegaskan bahawa Kemboja mesti menjadi pihak pertama mengumumkan gencatan senjata bagi menghentikan pertempuran antara kedua-dua negara, susulan lebih seminggu konflik sempadan yang kembali memuncak.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Maratee Nalita Andamo berkata, Kemboja sebagai pihak yang didakwa menceroboh wilayah Thailand perlu mengambil langkah awal untuk meredakan keadaan.

“Sebagai pihak yang bertindak agresif ke atas wilayah Thailand, Kemboja mesti mengumumkan gencatan senjata terlebih dahulu,” katanya.

Pertempuran terbaharu antara dua negara Asia Tenggara itu bulan ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 32 orang, termasuk anggota tentera dan orang awam, selain memaksa kira-kira 800,000 penduduk meninggalkan kediaman mereka, menurut pihak berkuasa.

Kedua-dua pihak saling menuding jari sebagai pencetus konflik, masing-masing mendakwa bertindak untuk mempertahankan diri dan menuduh lawan menyasarkan orang awam.

Kemboja setakat ini belum memberikan maklum balas rasmi terhadap kenyataan Thailand itu.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebelum ini bertindak campur tangan dalam konflik berkenaan mendakwa kedua-dua negara telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata bermula malam Sabtu.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, pula menyatakan sokongan terhadap inisiatif gencatan senjata yang dikemukakan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, dengan penglibatan Washington.

Namun, Bangkok menafikan dakwaan wujudnya persetujuan gencatan senjata, sambil menegaskan bahawa pertempuran masih berterusan setiap hari sejak 7 Disember lalu.-AFP

AZRUL FAIZAL JUSOH