fb fb fb fb fb

Tewas dek tekanan dan sindiran, Raygun umum bersara daripada 'breakdance'

FOTO REUTERS

SYDNEY, 7 November- Penari breakdance sensasi Australia, Rachael "Raygun" Gunn, telah mengumumkan persaraannya daripada kancah pertandingan susulan tekanan dan reaksi negatif yang diterima selepas persembahannya di Sukan Olimpik Paris.

Raygun, 37, menjadi bahan ejekan global selepas persembahan uniknya yang termasuk lompatan ala kanggaru dan gerakan "sprinkler" gagal menarik perhatian juri. Aksi-aksi tersebut kemudian diulang-ulang dalam rancangan bual bicara dan disindir dalam talian, dengan pakaian tracksuit hijau yang dipakainya turut menjadi bahan parodi.

Pelbagai teori konspirasi turut muncul, mempersoalkan bagaimana pensyarah universiti itu berjaya melaykkan diri ke dalam pasukan Olimpik Australia.

Dalam temuramah bersama stesen radio 2DayFM Australia pada hari Rabu, Gunn berkongsi bahawa dia telah memutuskan untuk berhenti bertanding. “Saya memang nak terus bertanding, tapi sekarang perkara itu nampaknya terlalu sukar untuk saya lakukan,” katanya.

Jelasnya tahap perhatian dan rakaman yang dimuat naik dalam talian telah mengubah keseluruhan pengalaman bersaing baginya.

Gunn sebelum ini juga menyuarakan kekecewaannya terhadap komen negatif yang diterimanya. “Saya pergi ke sana untuk berseronok. Saya serius dan bekerja keras untuk persiapan ke Olimpik. Saya telah memberi segalanya,” katanya dalam satu mesej video selepas Sukan Olimpik tersebut.

Walaupun prestasinya menjadi bahan ejekan di media sosial, Gunn menerima sokongan daripada atlet Olimpik Australia yang lain serta Perdana Menteri negara itu.

Raygun menyatakan bahawa dia akan terus menari, namun hanya secara peribadi, bukan dalam pertandingan. “Saya masih menari dan masih ‘break’, tapi sekarang hanya di ruang tamu dengan pasangan saya,” jelasnya.

“Tarian adalah sesuatu yang menyeronokkan, dan ia buat kita rasa baik. Tak patut orang rasa rendah diri tentang cara mereka menari. Jika anda keluar ke lantai tari dan berseronok, itu dah cukup.”

Menariknya, Raygun sempat meraih kejayaan pada bulan September apabila dia berada di tangga teratas ranking Persekutuan Sukan Tarian Dunia (WDSF) untuk kategori wanita, hasil kemenangan di Kejuaraan Oceania, salah satu daripada beberapa acara yang layak untuk ranking menjelang Olimpik.

Sukan breakdance dipertandingkan buat kali pertama di Olimpik di Paris, tetapi tidak akan dipertandingkan di Sukan Olimpik Los Angeles pada tahun 2028.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE