BEIRUT, 7 November- Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan 40 orang terbunuh dalam serangan Israel di bahagian timur negara itu termasuk di bandar utama Baalbek pada Rabu, dengan pasukan penyelamat masih mencari mangsa terperangkap bawah runtuhan.
“Siri serangan musuh Israel di Lembah Bekaa dan Baalbek telah membunuh 40 orang dan mencederakan 53 yang lain,” kata kenyataan kementerian itu yang memberikan jumlah awal korban.
Jumlah korban itu termasuk 11 orang yang terbunuh di bandar Baalbek dengan sembilan daripadanya berada di daerah Shikan, kawasan penduduk padat Sunni dalam bandar majoriti Syiah itu di mana kumpulan Hizbullah yang disokong Iran mempunyai pengaruh yang kuat.
Seorang wartawan AFP di Baalbek melihat pasukan penyelamat mencari mangsa di bawah runtuhan selepas serangan di kawasan kejiranan miskin tersebut.
Beliau turut melaporkan bahawa hotel terkenal Palmyra di bandar itu turut mengalami kerosakan dalam serangan berdekatan, dengan kementerian kesihatan melaporkan dua orang terbunuh di sana.
Serangan Israel turut membunuh 16 orang di kampung Nasriyah, menurut kementerian.
“Operasi menyelamat dan pembersihan runtuhan masih diteruskan bagi mencari individu yang hilang,” kata kementerian itu.
Tentera Israel tidak mengeluarkan amaran pemindahan bagi bahagian timur Lubnan.
Israel telah meningkatkan serangan udara ke atas kubu kuat Hezbollah di selatan Lebanon, Beirut, dan Lembah Bekaa di timur sejak 23 September, selepas setahun tembak-menembak rentas sempadan. Seminggu kemudian, mereka menghantar pasukan darat ke selatan Lubnan.
Lebih setahun pertempuran yang memuncak menjadi perang pada bulan September telah menyebabkan sekurang-kurangnya 3,050 kematian di Lubnan, menurut angka daripada kementerian kesihatan.-AFP