fb fb fb fb fb

Tesla jual 74,402 EV buatan China, meningkat 32%

SHANGHAI, 3 Mac- Tesla menjual 74,402 kenderaan elektrik (EV) buatan China pada Februari, meningkat 31.65% daripada tahun sebelumnya, menurut data yang dikeluarkan Persatuan Kereta Penumpang China (CPCA) hari ini.

Ia telah meningkat 12.6% berbanding Januari, apabila pembuat kereta elektrik Amerika Syarikat (AS) menghantar 66,051 kereta elektrik Model 3 dan Model Y buatan China.

Saingan BYD dengan siri Dynasty dan Ocean EV serta kenderaan hibridnya terjual sebanyak 191,664 kenderaan bulan lepas.

Tesla merancang untuk menjalankan pengeluran keretanya di Shanghai dengan kadar pengeluaran mingguan sebanyak 20,000 unit pada Februari dan Mac selepas pemotongan harga yang dibuat pada awal Januari berikutan permintaan menggalakkan.

Bagaimanapun, data mingguan terkini menunjukkan jualan runcitnya di China masih kurang daripada kadar yang dilihat pada suku keempat.

Menurut data daripada China Merchants Bank International bahagian pasaran Tesla dalam sektor kenderaan tenaga baharu China, yang merangkumi kedua-dua kereta elektrik tulen dan kereta hibrid, merosot kepada sembilan peratus pada Februari daripada 10% tahun sebelumnya.

Bahagian pasaran BYD meningkat kepada 37% daripada 27%.

Apabila persaingan semakin sengit, Tesla berhasrat untuk meningkatkan eksport serta mengembangkan ke pasaran baharu keluaran kilangnya di Shanghai.

Kini, ia telah mula menghantar kereta ke Thailand dan menyediakan stesen pengecas super pertamanya di sana pada Februari.- REUTERS


(Kenderaan elektrik Tesla Model 3 buatan China di Guangzhou/REUTERS)

Media Baharu