fb fb fb fb fb

Tentera Israel bunuh remaja di Tebing Barat

RAMALLAH, 3 Mac- Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan tentera rejim menembak mati seorang remaja Palestin berusia 15 tahun dan mencederakan seorang lagi kanak-kanak. Keganasan berlaku di bandar Azzun, utara Tebing Barat.

Tentera Israel mengakui membunuh dan mencederakan mangsa, kononya atas alasan mereka diserang semasa mencari suspek yang melepaskan bunga api ke arah kenderaan Israel.

"Beberapa suspek membaling bom ke arah tentera", kata tentera dalam satu kenyataan. Askar bertindak balas dengan peluru hidup.


(Foto AFP)

Kementerian kesihatan Palestin berkata dalam satu kenyataan bahawa Muhammad Nidal Salim, 15, terbunuh akibat ditembak oleh tentera rejim.

Kejadian sama turut menyebabkan dua lagi cedera, termasuk seorang kanak-kanak yang dilaporkan dalam keadaan kritikal, tambah kementerian itu.

Tentera berkata ia menyedari laporan yang menyatakan bahawa beberapa suspek itu cedera dan menyatakan bahawa tiada tentera Israel cedera, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Kematian terbaharu berlaku ketika konflik keganasan Israel-Palestin berlanjutan khususnya di Tebing Barat, yang telah diduduki Israel sejak Perang Enam Hari 1967.

Bandar Huwara di Palestin diserang oleh peneroka haram Israel, beberapa jam selepas dakwaan dua penduduk Israel mati ditembak ketika mereka memandu melalui bandar utara Tebing Barat.

Di Huwara, beratus-ratus peneroka haram Israel terus melakukan provokasi dengan membakar rumah dan kereta serta membaling batu ke arah penduduk Palestin; dilaporkan menjadi punca kematian seorang lelaki Palestin yang tinggal di penempatan berhampiran di kampung Zaatara.

Isnin lalu, lelaki bersenjata dikatakan menembak mati seorang pemandu kenderaan Israel-Amerika, dan pada hari Rabu tentera Israel yang mencari suspek di kem pelarian Aqabat Jabr berhampiran Jericho bertindak membunuh seorang lelaki Palestin.

Sejak awal tahun, konflik Israel-Palestin telah meragut nyawa 65 orang dewasa dan kanak-kanak Palestin, termasuk pejuang Palestin dan penduduk awam.

Manakala menurut pengiraan AFP berdasarkan sumber rasmi dari kedua-dua pihak, kira-kira 13 orang dewasa dan kanak-kanak Israel, dilaporkan terbunuh dalam tempoh sama.

Ahad lalu, pegawai Israel dan Palestin berikrar dalam satu kenyataan bersama untuk mencegah keganasan selanjutnya dan komitmen untuk meredakan kemerosotan berikutan perbincangan di Jordan. - AFP

Media Baharu