fb fb fb fb fb

Tepung berhama, pasta jadi roti: Gaza ikhtiar hidup dalam kelaparan

Sisa tepung berkulat yang telah diayak penuh dengan hama dan kotoran digunakan untuk membut roti / REUTERS

GAZA, 8 Mei- Ketika dunia terus membisu, rakyat Gaza kini menguli sisa pasta dan menapis tepung berhama demi sekeping roti, bukan untuk kenyang, tapi untuk terus hidup sehari lagi.

Dalam bayang kebuluran dan serangan tanpa henti, seorang ibu kepada enam anak terpaksa mencipta "resipi kelangsungan" menggunakan apa sahaja yang ada, termasuk tepung rosak yang sebelum ini hanya layak untuk haiwan ternakan.

Amna Rizk, menggunakan lebihan pasta yang direndam semalaman untuk dijadikan doh roti, usaha terdesak bagi menggantikan tepung yang semakin "pupus".

"Kami tiada apa-apa untuk dimakan. Tiada tepung, tiada makanan, tiada minuman. Kami fikir apa yang boleh kami makan. Kami cuba rendam pasta, syukur ia menjadi. Kami bakar, dan ia lebih baik daripada mati kebuluran," katanya sambil menggulung doh menggunakan penggelek kayu dan membahagikannya kepada beberapa bahagian kecil.

Dalam suasana dapur yang serba kekurangan, Amna berkongsi realiti menyayat hati: "Sehari kami hanya makan sekeping roti. Satu sahaja. Kami bahagikan untuk semua, orang tua, anak kecil...itulah yang kami ada."

Bukan hanya ketiadaan makanan, Amna turut meluahkan kerinduan terhadap makanan segar yang pernah menjadi kebiasaan: "Kami rindu nak makan tomato, timun, epal, ayam. Kami dah lupa rasanya. Anak-anak rindu sangat. Ya Allah, kasihanilah kami."

Sementara itu, di Gaza City, keluarga lain turut berdepan kesukaran yang sama. Mohammed Abou Ayesh, bapa kepada sembilan anak, menunjukkan tepung bercampur hama dan pasir yang mereka terpaksa ayak berulang kali demi memberi makan kepada anak-anak.

"Bau dia pun dah tak boleh tahan. Binatang pun tak makan. Tapi kami tiada pilihan. Kami makan demi anak-anak," jelasnya dalam nada kecewa.

Dalam satu lagi adegan memilukan, Samaher al-Ghoula, seorang ibu yang menjaga 12 ahli keluarga, menunjukkan sisa tepung berkulat yang telah diayak penuh dengan hama dan kotoran. Namun, dia tetap menggunakannya untuk membakar roti.

"Kita kini di ambang kebuluran. Tepung makin habis, bekalan sangat terhad. Kalau dulu, tepung ini kita buang ke haiwan. Hari ini, kita ayak dan makan juga sebab anak-anak perlukan makanan.

"Tolonglah, kasihanilah kami. Hantarkan bekalan makanan, ubat-ubatan, sabun. Kami tiada apa-apa. Kami lemas dengan asap dapur. Tengoklah keadaan kami," rintih Samaher.

Ketiga-tiga keluarga itu hanyalah sebahagian kecil daripada ratusan ribu rakyat Gaza yang terus bertahan dalam kemelut kemanusiaan akibat sekatan dan konflik yang berpanjangan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE