fb fb fb fb fb

Tentera Sudan kawal penuh Khartoum, usir kumpulan RSF

Jurucakap Tentera Sudan, Brigadier Jeneral Nabil Abdallah / AFP

KHARTOUM, 21 Mei- Tentera Sudan pada Selasa mengumumkan telah menawan semula semua kawasan yang sebelum ini dikuasai kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di Omdurman, sekali gus mengesahkan keseluruhan negeri Khartoum kini berada di bawah kawalan tentera kerajaan.

Jurucakap tentera, Brigadier Jeneral Nabil Abdallah dalam satu kenyataan berkata, "Kami mengesahkan bahawa negeri Khartoum kini bebas sepenuhnya daripada pemberontak," merujuk kepada RSF yang terlibat dalam konflik berdarah menentang angkatan tentera sejak April 2023.

Kejayaan tersebut menandakan kemaraan paling besar tentera sejak perang tercetus, selepas mereka berjaya menguasai semula pusat bandar Khartoum pada Mac lalu. Ketika itu, RSF berundur dan hanya bertahan di dua kawasan Salha di selatan Omdurman dan Ombada di bahagian barat.

Menurut kenyataan tentera, satu "serangan berskala besar" dilancarkan pada Isnin bagi menawan kedua-dua lokasi tersebut, dengan letupan akibat pertempuran dilaporkan kedengaran di seluruh bandar, menurut koresponden AFP.

Setakat ini, tiada sebarang maklum balas rasmi dikeluarkan oleh pihak RSF mengenai dakwaan terbaharu itu, yang jika disahkan, akan mengukuhkan lagi cengkaman tentera ke atas wilayah tengah Sudan dan memaksa kumpulan separa tentera tersebut berundur ke kubu kuat mereka di wilayah Darfur, barat negara itu.

Konflik yang kini memasuki tahun ketiga itu menyaksikan pertembungan tentera pimpinan Abdel Fattah al-Burhan dengan RSF yang diketuai oleh bekas timbalannya, Mohamed Hamdan Daglo.

Pertempuran berpanjangan itu telah meragut puluhan ribu nyawa, memaksa lebih 13 juta penduduk menjadi pelarian, dan mencetuskan krisis kemanusiaan paling buruk di dunia menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Negara Afrika ketiga terbesar itu kini secara praktikal terbahagi dua; dengan tentera menguasai wilayah tengah, utara dan timur, manakala RSF bersama sekutunya mengawal hampir keseluruhan Darfur serta beberapa kawasan di selatan Sudan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE